FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

POLIS mengesan dua lelaki warga Thailand termasuk seorang yang menyamar sebagai ustaz sebelum bertindak melakukan amang seksual dan melanggar kesopanan ke atas lima pelajar lelaki sebuah madrasah di Tasek Gelugor, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian 27 Februari lalu, seramai 11 pelajar lelaki berusia 9 hingga 15 tahun diarahkan ke rumah didiami mereka, tidak jauh dari asrama madrasah berkenaan kononnya untuk mengaji al-Quran.

“Sebaik tiba di rumah dua lelaki itu, kumpulan pelajar dipecahkan kepada dua bahagian iaitu lima daripadanya dipanggil untuk ke sebuah bilik di tingkat atas dan ketika itu semua mangsa ada melihat seorang lelaki lain di dalam rumah suspek.

“Menurut lima pelajar yang dipanggil ke tingkat atas itu, mereka dibacakan sesuatu pada badan dan seterusnya lelaki yang dipanggil ‘Ustaz Thailand’ menyelak kain serta jubah dipakai pelajar berkenaan sebelum mencabul semua mangsa,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Katanya, enam lagi pelajar yang turut pergi ke rumah itu tidak dicabul, namun mereka diarahkan oleh ustaz terbabit untuk berzikir tanpa henti untuk tujuan memanggil jin semasa suspek memasang colok sebelum kesemuanya dibenarkan pulang ke asrama pada 3 pagi.

Noorzainy berkata, kejadian itu hanya terbongkar selepas dua daripada pelajar yang dicabul mengaku kepada seorang ustazah bahawa mereka membuat kesalahan besar.

Menurutnya, ustazah itu merasa pelik dan bertanya lebih lanjut sebelum akhirnya dua pelajar menceritakan apa yang berlaku.

Katanya, ekoran itu, pihak madrasah memanggil semua pelajar yang pergi ke rumah ustaz berkenaan dan lima daripadanya mengaku dicabul sebelum masing-masing membuat laporan polis, manakala ustaz bersama pembantunya sudah melarikan diri sebaik mengetahui perbuatannya terbongkar.

“Semua 11 pelajar yang pergi ke rumah lelaki mengaku ustaz itu dapat mengecam wajah suspek dan pembantu lelaki yang menguruskan alatan seperti colok dan limau purut di lokasi kejadian.

“Setakat ini, seorang lelaki yang juga pemilik rumah sudah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, polis giat memburu dua lelaki berusia 30-an terbabit dipercayai berasal dari Selatan Thailand bagi membantu siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Tasek Gelugor di talian 04-5731200 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di talian 04-5759122.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 9:43 PM