DR Chong. FOTO arkib NSTP
DR Chong. FOTO arkib NSTP
Omar Ahmad


AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Pemanis, Dr Chong Fat Full yang mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjadi Adun Bebas, mungkin akan dikenakan denda RM10 juta.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tsee berkata, pihaknya akan merujuk perkara itu kepada kepimpinan pusat bagi mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.

Katanya, setiap calon PKR yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu menandatangani satu surat kontrak yang mana sekiranya calon itu menang dan mereka keluar parti, mereka akan membayar ganti rugi RM10 juta.

“Saya sudah maklumkan dalam PKR, sebelum dapat watikah untuk jadi calon, kita semua perlu tandatangan surat kontrak.

“Dalam surat itu, siapa yang menang dan bertindak keluar dari parti dia perlu bayar ganti rugi RM10 juta.

“Saya ada tandatangan surat itu dan saya juga yakin Dr Chong pun ada tandatangan. Saya akan rujuk pada pusat perkara ini, sekiranya betul kita tunggu lampu hijau dan akan ambil tindakan.

“Kita tidak akan jumpa Dr Chong lagi kerana dia pun cakap belit-belit,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Adun Kota Iskandar, Johor Bahru, hari ini.

Semalam, Dr Chong dalam sidang akhbar khas yang dipengerusikan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad mengumumkan keluar parti dan menjadi calon Bebas.

Dr Chong juga mengumumkan menyokong gabungan baharu kerajaan Johor yang terdiri daripada parti Barisan Nasional (BN), Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 1:28 PM