ADUN Pemanis, Dr Chong Fat Full. FOTO Mohd Azren Jamaludin
ADUN Pemanis, Dr Chong Fat Full. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Ahmad Ismail


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr Chong Fat Full yang mengumumkan keluar PKR untuk menjadi ADUN Bebas, digesa meletakkan jawatan sebagai ADUN kawasan itu.

Gesaan itu dibuat kira-kira 50 ahli Pakatan Harapan (PH) yang berkumpul di pekarangan pejabat ADUN Pemanis di Jalan Susur Buloh Kasap, Segamat, pada 9.30 pagi hari ini.

Ahli Parlimen Sekijang (PKR), Natrah Ismail berkata, satu memorandum dihantar ke pejabat ADUN itu bagi mendesak Dr Chong melepaskan jawatannya sebagai ADUN Pemanis kerana mengkhianati kepercayaan pengundi.

“Sebelum ini, beliau (Dr Chong) tidak dikenali masyarakat di sini, namun selepas diberikan mandat, kepercayaan dan kemenangan atas tiket PH, beliau menukar arah mengisytiharkan dirinya sebagai calon Bebas.

“Sebaiknya, beliau perlu meletakkan jawatan dan biarlah pengundi membuat pilihan sama ada mahukan wakil rakyat dari Bebas, ataupun Perikatan Nasional dan PH,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Turut hadir bersama kumpulan itu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sekijang, Pang See Keong.

Natrah berkata, pihaknya juga berharap PKR mengambil tindakan segera terhadap Dr Chong dan beliau perlu membayar denda RM10 juta atas pengkhianatan terhadap PKR.

“Tidak ingin menyentuh tentang perlantikan beliau sebagai Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor baru-baru ini, biarlah keadaan yang menentukannya,” katanya.

Dr Chong memenangi kerusi DUN Pemanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 363 undi apabila memperoleh 8,304 undi untuk menewaskan Koo Shiaw Lee daripada Barisan Nasional yang memperoleh 7,941 dan Normala Sudirman dari PAS yang mendapat 2,151 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 2:17 PM