SIDANG Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO arkib NSTP
SIDANG Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

DEWAN Rakyat akan bersidang pada 18 Mei ini dan bukan 9 Mac seperti yang dijadualkan sebelum ini, demikian menurut Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Ketika dihubungi Bernama, beliau turut mengesahkan surat makluman berhubung tarikh baharu persidangan itu telah diterima malam tadi.

“Sebentar lagi Pejabat Speaker akan keluarkan kenyataan media,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama, pagi ini.

Beliau mengesahkan laporan media pagi ini yang menyatakan tiada persidangan akan berlangsung pada 9 Mac ini.

Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 sebelum ini dijadualkan bermula 9 Mac ini akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, pada Ahad lalu, Mohamad Ariff ketika ditemui pemberita menyatakan beliau akan menghubungi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada Dewan Rakyat akan bersidang mengikut jadual pada 9 Mac ini atau ditangguhkan.

Mohd Ariff berkata beliau akan menulis secara rasmi bagi menanyakan mengenai perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 11:01 AM