Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TIADA jemaah umrah Malaysia terkandas di mana-mana lapangan terbang atau hotel untuk pulang ke negara ini selepas Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah di Makkah dan Madinah.

Setiausaha Kehormat Persatuan Agensi Pelancongan, Umrah dan Haji (PAPUH) Datuk Jefri Sulaiman berkata, larangan mengerjakan umrah itu dijangka akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kita menjangkakan dalam tempoh dua minggu ini larangan berkenaan akan ditarik balik, namun setakat ini tiada jemaah umrah Malaysia terkandas.

“Mereka boleh pulang ke Malaysia seperti biasa kerana tiada halangan untuk mereka keluar dari Madinah dan Makkah,” katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Jefri berkata, bagaimanapun jemaah umrah Malaysia yang berada di Madinah tidak boleh ke Makkah dan jemaah umrah di Makkah tidak boleh ke Madinah.

“Jemaah di Madinah akan melakukan ziarah manakala jemaah di Makkah boleh melakukan rukun umrah seperti biasa.

“Namun bagi tempoh sehari dua ini jika mereka terkandas disebabkan masalah penerbangan, pihak penerbangan akan bertanggungjawab termasuk menjaga makan dan minum serta penginapan,” katanya.

Katanya, langkah diambil kerajaan Arab Saudi itu bagi menjamin keselamatan dan kesihatan jemaah umrah.

“Terdapat jutaan manusia yang berada di kawasan berkenaan disebabkan itu mereka mengambil langkah berjaga-jaga.

“Setakat ini, tiada jemaah umrah yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 3:19 PM