ANTARA orang ramai yang hadir mengambil bungkusan makan di gerai Suhaily Saruldin di Tanan Yayasan di sini.
ANTARA orang ramai yang hadir mengambil bungkusan makan di gerai Suhaily Saruldin di Tanan Yayasan di sini.
Ahmad Ismail


“SAYA kenakan bayaran hanya RM1 untuk 170 bungkusan makanan berlauk dan air sirap saja.

“Walaupun kosnya tinggi namun saya anggap ia sedekah sempena memperingati arwah anak yang gemar bersedekah,” kata peniaga makanan, Suhaily Saruldin, 49, hari ini.

Hari ini, genap enam tahun peristiwa anak Suhaily, Allahyarham Aminudin Zamari, 14, lemas bersama tujuh rakannya di Sungai Buloh Kasap, Segamat.

Kelapan-lapan mangsa, berusia 13 hingga 16 tahun, adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap dan lemas akibat terjatuh ketika beriadah, jam 8.30 pagi di kawasan itu.

Menurut Suhaily yang ditemui di Taman Yayasan, dia bersyukur kerana kurang 45 minit, makanan berkenaan habis diagihkan kepada pengunjung gerainya.

“Kutipan RM170 itu saya sumbangkan kepada masjid dan pertubuhan kebajikan.

“Ramai yang berkunjung ke gerai untuk mendapatkan makanan ini selepas saya memuat naik niat sedekah ini melalui Facebook,” katanya.

SUHAILY Saruldin (dua kiri) mempamerkan kertas ucapan terima kasih kepada pengunjung.
SUHAILY Saruldin (dua kiri) mempamerkan kertas ucapan terima kasih kepada pengunjung.

Menurut Suhaily, dia melakukan perkara itu kerana dimaklumkan oleh pihak berkaitan yang arwah anak keduanya itu gemar bersedekah.

“Ia menguatkan lagi semangat saya untuk merealisasikan perkara ini,” katanya.

Suhaily berkata, kehidupan hariannya sebagai penjual donat di sekitar Taman Yayasan turut menguatkan lagi ingatan kepada arwah anaknya itu yang sering membantu menguli tepung.

“Ada kalanya kemunculan arwah anak yang tersenyum manis dalam mimpi turut sedikit sebanyak mengubat kerinduan terhadapnya,” katanya.

Kakak arwah, Nurul Amylia, 21, berkata, arwah adiknya itu kerap membantunya mengemas gerai, menjahit tudung selain ringan tangan membantu di dapur sejak berusia lapan tahun.

“Hanya gambar kami berdua ketika kecil kini menjadi tatapan bagi saya melepaskan kerinduan.

“Kami sekeluarga juga kerap menziarah pusara adik di Tanah Perkuburan Islam FELDA Pemanis di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 4:26 PM