FRANKIE (tengah) ketika hadir program sambutan Bulan Anti Dadah Kebangsaan (BADK) peringkat Penampang 2020 di SMK Limbanak, Penampang.
FRANKIE (tengah) ketika hadir program sambutan Bulan Anti Dadah Kebangsaan (BADK) peringkat Penampang 2020 di SMK Limbanak, Penampang.
Juwan Riduan


UJIAN saringan Covid-19 sudah diperluaskan membabitkan penumpang penerbangan domenstik dari semenanjung ke negeri ini yang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, sebelum ini, ujian atau pemeriksaan kesihatan di KKIA membabitkan penumpang penerbangan antarabangsaan dari China dan Taiwan.

“Sebelum ini penumpang dari Johor dan Kuala Lumpur tidak dikenakan ujian saringan Covid-19 tetapi sekarang tidak lagi kerana semua mesti disaring.

“Penumpang-penumpang domestik dari luar Sabah khususnya Semenanjung seperti Kuala Lumpur dan Johor turut menjalani pemeriksaan di pos Jabatan Imigresen KKIA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan sambutan Bulan Anti Dadah Kebangsaan (BADK) Peringkat Daerah Penampang 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menafikan bahawa kononnya tidak ada ujian Covid-19 yang dilihat oleh orang awam dilakukan di pintu masuk KKIA.

“Sebenarnya hanya penumpang domestik dalam negeri sahaja (seperti Kota Kinabalu- Sandakan atau Kota Kinabalu-Tawau) yang tidak perlu menjalani pemeriksaan.

“Tetapi ada juga pengurusan lapangan terbang domestik yang mengambil inisiatif sendiri menjalankan ujian saringan Covid-19 seperti di Lapangan Terbang Sandakan,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan kes seorang suspek Covid-19 di Labuan pula, beliau berkata, pihaknya masih menunggu hasil keputusan makmal berhubung ujian yang dijalankan.

“Setakat ini belum ada jawapan dan kita masih menunggu. Saya akan beritahu media mengenai perkembangan kes itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 5:35 PM