Omar Ahmad

DUA beranak yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu ditahan di sebuah bengkel di Jalan Lombong di Kota Tinggi, petang semalam.

Dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Tinggi itu, polis merampas 7,880 papan dadah pil eramin 5, 471 kotak rokok pelbagai jenama, 12 bungkus mercun serta dua kenderaan dengan nilai keseluruhan RM1.25 juta.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Shafie Ismail berkata, mereka itu pada mulanya dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan rokok.

Menurutnya, selepas aktiviti penyeludupan rokok itu sering dikesan pihak berkuasa, dua beranak berusia 22 dan 47 tahun beralih kepada kegiatan pengedaran dadah yang dipercayai diperoleh dari Kuala Lumpur untuk pasaran selatan, terutama Johor.

“Dalam serbuan pada 6 petang itu, polis turut merampas 12 bilah parang dan 12 keping nombor pendaftaran kenderaan.

“Hasil siasatan awal, polis percaya modus operandi mereka dengan menukar pendaftaran kereta berlainan setiap kali menjalankan kerja pengedaran dadah berkenaan bagi mengelakkan dikesan,” katanya ketika sidang media di IPD Kota Tinggi, hari ini.

SHAFIE (tengah) menunjukkan mercun, rokok dan rampasan dadah pil eramin 5. FOTO Omar Ahmad
SHAFIE (tengah) menunjukkan mercun, rokok dan rampasan dadah pil eramin 5. FOTO Omar Ahmad

Menurutnya, kedua-dua suspek berkenaan mempunyai hubungan anak beranak dan mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, si bapa pernah terbabit dalam siasatan berkaitan kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pernah diambil tindakan mengikut aktiviti perjudian.

Shafie berkata, anaknya pula mempunyai rekod mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Kedua-dua suspek direman bermula hari ini hingga 22 Februari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil dan Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berjadual 1958,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 4:52 PM