Kawalan ketat di Kompleks Mahkamah Seremban. FOTO MD AMIN JALIL
Kawalan ketat di Kompleks Mahkamah Seremban. FOTO MD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


PROSIDING sebutan semula kes 19 individu yang menganggotai kumpulan jenayah terancang geng Kabali di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini dikawal ketat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan.

Kelihatan pita penghalang dipasang di pintu masuk bangunan mahkamah dan hanya petugas mahkamah dibenarkan masuk.

Hampir 20 individu yang dipercayai saudara mara tertuduh hadir di perkarangan mahkamah sejak awal pagi bagaimanapun mereka juga tidak dibenarkan masuk.

Semua tertuduh dibawa menaiki kenderaan ‘black maria’ yang diiringi oleh dua kereta polis termasuk Unit Anjing Pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Untuk keselamatan, petugas media juga dihalang memasuki mahkamah bagi menyaksikan prosiding yang berlangsung selama kira-kira sejam bermula 9.15 pagi hingga 10.15 pagi itu.

Sementara itu, Hakim Mardihah Harullah menetapkan tarikh 26 Mac depan untuk sebutan semula itu.

Beliau menetapkan tarikh itu selepas kes disebut semula didalam kamarnya di sini membabitkan tertuduh berusia 18 hingga 50 tahun itu.

Tertuduh ialah S Prabu, S Viven, S G Ravikumar, S S Subramaniam, G Kartik Rajah, S R C Parkash, R Kamal Rajh, T S G Kartik, U Kartik, B Kalaiarasan, G Yuganraj, K Shastihar, G Murali, S Ilangovan, L Navinraj, K Sarugunan, S Sivabalan, G Thanaselan dan M Puspalingam.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang geng Kabali di tepi jalan besar Batu 1/2, Jalan Rantau-Siliau, Rantau antara 1 Februari hingga 27 November 2019.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias dan Muhammas Asyraf Minhad manakala hanya 11 daripada tertuduh diwakili peguam.

Izhanudin ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu prosiding hari ini hanya membabitkan serahan dokumen berkaitan kerana laporan forensik belum diperolehi.

Beliau berkata, kes akan disebut semula di mahkamah yang sama pada 26 Mac depan.

“Kami (pendakwaan) juga akan mengemukakan permohonan di bawah Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Seremban,” katanya.

Tertuduh Kamal Rajh, Ilangovan, Navinraj dan Sivabalan diwakili peguam V Muniandy dan P Rajsurian, manakala Viven, Ravikumar, Kartik dan Sarugunan diwakili peguam A Parthiban dan J Dasene serta dua lagi tertuduh Prabu dan Kartik Rajah diwakili peguam Goh Chee Kian manakala S S Subramaniam diwakili peguam, S Karthigesan.

Lapan lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Geng Kabali yang disyaki terbabit sekurang-kurangnya 65 kes samun di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, berjaya ditumpaskan apabila polis menahan 19 ahlinya melalui Ops Kelawar sepanjang November hingga Disember lalu.

Menurut polis, geng itu dipercayai aktif melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata sejak 2017 yang menyasarkan mangsa di rumah dan pengurup wang, antara 8 malam hingga 5.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 3:57 PM