PEGAWAI AADK menyoal siasat 11 individu ditahan kerana disyaki menagih dadah dalam Ops Cegah di  sekitar Beaufort dan Kuala Penyu, awal pagi hari ini. FOTO ihsan AADK SABAH.
PEGAWAI AADK menyoal siasat 11 individu ditahan kerana disyaki menagih dadah dalam Ops Cegah di sekitar Beaufort dan Kuala Penyu, awal pagi hari ini. FOTO ihsan AADK SABAH.
Junaidi Ladjana


WANITA bisu bersama teman lelakinya antara 11 individu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah dalam Ops Cegah di Beaufort dan dua kampung di Kuala Penyu, awal pagi hari ini.

Ketika operasi bermula 1 pagi dan berakhir 5 pagi itu, wanita berusia 28 tahun itu ditahan di sebuah rumah sewa di pekan Beaufort.

Ketua Operasi AADK Sabah, Erwan Roslan berkata, berdasarkan maklumat, seramai lapan anggota AADK menjalankan pemeriksaan di rumah sewa di pekan Beaufort dan mengesan seorang lelaki bersama kekasihnya di dalam rumah berkenaan.

“Hasil soal siasat, lelaki berusia 26 tahun itu mendakwa tidak mengambil sebarang benda terlarang, begitu juga dengan wanita bersamanya.

“Namun pemeriksaan lanjut menemui peralatan disyaki untuk menagih dadah jenis syabu.

“Seterusnya kami menjalankan ujian air kencing dan mendapati kedua-dua mereka didapati positif dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan di beberapa rumah di Kampung Bundu dan Kilugus, Kuala Penyu.

“Hasil pemeriksaan itu, kami menahan sembilan individu termasuk pasangan kekasih kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Ujian air kencing semua mereka didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Erwan berkata, semua suspek berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun dibawa ke Pejabat AADK Beaufort untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Beaufort di talian 087-222667 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 4:26 PM