AZMI bersama pegawainya menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki disyaki penagih selepas cuba bersembunyi di sebuah bilik di rumahnya di Kampung Empat Murni, Nabawan, Keningau. -Foto IHSAN AADK
AZMI bersama pegawainya menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki disyaki penagih selepas cuba bersembunyi di sebuah bilik di rumahnya di Kampung Empat Murni, Nabawan, Keningau. -Foto IHSAN AADK
Junaidi Ladjana


USAHA ibu menyembunyikan anaknya daripada ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), gagal selepas suspek ditahan dalam operasi di Kampung Empat Murni A, Nabawan, dekat Keningau, malam tadi.

Pegawai AADK Keningau, Azry Golbin@Azmi, berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota AADK Keningau menjalankan operasi di kampung itu, 11.30 malam tadi.

“Ketika operasi di sebuah rumah di kampung itu, pegawai AADK bertanya kepada seorang wanita untuk mencari anak lelakinya berusia 22 tahun kerana disyaki penagih dadah.

“Wanita itu bagaimanapun memberitahu anaknya tiada di rumah sebelum menutup pintu.

“Pegawai AADK yang curiga kemudian membuat pemeriksaan dan menemui suspek bersembunyi dalam sebuah bilik di rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azry berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut menahan lima lagi lelaki kerana disyaki penagih dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek berusia 21 hingga 43 tahun positif dadah jenis Methamphetamine atau syabu dan ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa tidak melindungi anak mereka yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Orang ramai dinasihat menyalurkan aduan berkaitan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing untuk tindakan AADK sebelum keadaan penagihan semakin parah dan sukar dikawal,” katanya.

Tambah beliau, sebarang aduan boleh menghubungi AADK Keningau di talian 087-339886 atau pejabat AADK berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 12:26 PM