Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN pelajar perempuan tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Simunjan tidur di rumah kenalan yang baru dikenalinya mengundang padah apabila dirogol lelaki berkenaan dalam kejadian pada 1 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Simunjan Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia 17 tahun itu semalam.

“Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa memaklumkan dia berada di rumah rakannya di kawasan Simunjan.

“Ketika mahu pulang ke rumahnya di kampung berhampiran, rakannya itu menghubungi sepupu lelakinya (suspek) bagi menghantar mangsa.

“Dalam perjalanan pulang pada waktu tengah malam, mangsa dipelawa oleh suspek untuk tidur di rumahnya.

“Mangsa yang menerima ajakan itu, tidur di bahagian ruang tamu rumah berkenaan sebelum dia dihampiri suspek yang mengajaknya melakukan hubungan seks.

“Mangsa menolak namun dipaksa suspek yang kemudian merogolnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Merbin berkata, mangsa mendakwa baru mengenali lelaki berusia 20 tahun berkenaan dalam tempoh seminggu sebelum kejadian itu melalui rakan perempuannya yang juga sepupu suspek.

“Mangsa dihantar ke Hospital Serian sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat kesan koyakan pada kemaluan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah menahan suspek berkenaan di daerah itu kira-kira 11 malam.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 19 Februari nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 6:16 PM