WARGANET memuji serta menghargai tindakan yang dibuat pihak pengurusan. FOTO Facebook
WARGANET memuji serta menghargai tindakan yang dibuat pihak pengurusan. FOTO Facebook
Omar Ahmad

PIHAK pengurusan sebuah pusat beli-belah di Bukit Indah, Johor Bahru melakukan sertu ke atas taman permainan di premis itu susulan tular seorang pengunjung membawa anjing di kawasan terbabit.

Menerusi kenyataan di Facebook pusat beli-belah itu kelmarin, pihaknya memahami kebimbangan orang ramai dan mengambil langkah yang perlu.

“Semua maklum balas pelanggan kami sangat berharga kepada kami dan sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk memastikan pusat membeli-belah kami selesa.

“Berhubung kejadian baru-baru ini (tular pelanggan membawa anjing ke taman permainan), kami merasa kebimbangan orang ramai dan mengambil langkah yang perlu untuk membersihkan kawasan sekitarnya mengikut cara umat Islam (sertu).

“Sekali lagi kami menyesal atas sebarang kesulitan yang timbul dan kami akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk memastikan semua pelanggan kami terus mempunyai pengalaman membeli-belah yang menyenangkan dengan kami,” katanya.

PIHAK pengurusan melakukan sertu ke atas taman permainan. FOTO Facebook
PIHAK pengurusan melakukan sertu ke atas taman permainan. FOTO Facebook

Tindakan pusat beli-belah itu mendapat lebih 800 tanda suka dan dikongsi 359 pelayan Facebook, manakala rata-rata warganet memuji serta menghargai tindakan yang dibuat pihak pengurusan.

Terdahulu, tular di Facebook gambar seorang pengunjung membawa seekor anjing di taman permainan kanak-kanak di pusat beli-belah itu.

Pengguna Facebook berkenaan meluahkan rasa bimbang terhadap kanak-kanak yang bermain di situ dan berpendapat ia perlu disamak kerana khuatir terdapat kesan lelehan air liur haiwan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 5:43 PM