FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Murni Wan Omar


WARTAWAN dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan membuat kenyataan yang mungkin menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam.

Wan Noor Hayati Wan Alias, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melalui aplikasi Facebook menggunakan laman profil atas nama "Ibu Yati" secara sedar membuat kenyataan dengan niat hendak menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam atau mana-mana golongan awam.

Ia dibaca pada 10 malam, 26 Januari 2020 di alamat Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman melalui halaman akaun Facebook "Ibu Yati".

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Nurilya Ellyna Nor Azmal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 11:47 AM