GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Setiausaha Wanita DAP Selangor Nalina Nair Rama Krishnan dan seorang aktivis didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merusuh dan berkelakuan tidak senonoh di sebuah balai polis di sini, minggu lalu.

Nalina Nair, 32, dan penuntut Doktor Falsafah (PhD) Sujatra Jayarah, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandi Chin dan Wong Chai Sia.

Mereka masing-masing dituduh merusuh, berkelakuan tidak senonoh atau mengaibkan di lobi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pada 9 malam, 19 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal dan Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar masing-masing menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam Farida Mohammad dan V Yoges yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guam mereka banyak terbabit dalam kerja amal selain tiada risiko untuk melarikan diri.

Yoges berkata, Sujatra adalah penuntut PhD sepenuh masa dan tidak mempunyai pendapatan.

Mahkamah membenarkan Nalina Nair diikat jamin RM5,000, manakala Sujatra diikat jamin RM2,000 masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 5:35 PM