GAMBAR hiasan. FOTO Zulfadhli Zulkifli
GAMBAR hiasan. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Mohd Khidir Zakaria

SELEPAS hampir tiga tahun menunggu, seorang lelaki hilang sabar dan membuat laporan polis mendakwa ditipu dalam urusan pembelian kereta di Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson selepas wang RM135,000 lebur dan kereta idamannya belum mampu dimiliki.

“Pada pertengahan 2017, mangsa yang bekerja sebagai tukang paip berurusan dengan suspek dan membayar deposit RM10,000 untuk urusan pembelian kereta Perodua Alza berharga RM90,000.

“Mangsa kemudiannya mendapat tahu akan diberikan kereta lama sebelum meminta untuk membatalkan proses pembelian dan mahukan wangnya semula,” katanya dalam kenyataan media di Port Dickson, hari ini.

Beliau berkata, bagi tujuan pembatalan, mangsa diminta membuat pembayaran secara berperingkat mengikut arahan suspek.

“Mangsa membuat 425 transaksi dalam tempoh Julai 2017 hingga Januari lalu secara berperingkat mengikut arahan suspek ke dalam tujuh akaun berbeza.

“Sehingga kini wang deposit masih belum dikembalikan dan kereta itu tidak diterima.

“Jumlah keseluruhan kerugian mangsa adalah RM135,030 termasuk deposit RM10,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu pembelian kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, polis kini berusaha mengesan suspek yang masih bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 5:46 PM