NAJIB hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kesnya. FOTO Saifullizan Tamadi.
NAJIB hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kesnya. FOTO Saifullizan Tamadi.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan UMNO memohon supaya kes lucut hak ke atas wang tunai RM114,164,393.44 yang disita daripada premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd didengar secara berasingan daripada kes sama membabitkan barang kemas.

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin memaklumkan bahawa Najib dan UMNO, selaku pihak ketiga, memohon agar pendengaran tuntutan wang itu didengar secara berasingan tanpa menunggu proses pemeriksaan ke atas barang kemas dalam kes yang sama selesai.

Faten Hadni bagaimanapun berkata, pendakwaan membantah permohonan itu kerana tuntutan pelucutan hak bagi wang tunai dan barang kemas dalam kes tersebut sudah dibuat dalam notis yang sama.

Peguam Fazreen Hazrina Rahim, yang mewakili Najib dan UMNO pula berkata, jika mahkamah tidak mendengar permohonan Najib dan UMNO secara berasingan, ia akan memprejudiskan anak guamnya kerana pemeriksaan terhadap barangan kemas itu masih belum boleh dilakukan ketika ini.

"Ini kerana wakil kepada pihak ketiga tukang emas warga Lubnan daripada Global Royalty Trading SAL difahamkan berada di United Kingdom dan terdapat sekatan perjalanan ke Malaysia disebabkan Covid-19," katanya.

Wang dan barang kemas itu didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian menetapkan 25 November untuk mendengar permohonan Najib serta UMNO dan berkata permohonan itu tidak prejudis kepada pihak pendakwaan.

"Tuntutan Najib dan UMNO ke atas wang tunai tersebut boleh didengar dahulu tanpa keperluan untuk menunggu pihak ketiga lain membuat pemeriksaan ke atas barang-barang kemas.

"Mahkamah hanya akan mengembalikan harta yang disita daripada pihak ketiga jika mahkamah berpuas hati dengan pihak ketiga yang memenuhi lima perkara seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 61(4) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," katanya semasa pengurusan kes itu hari ini.

Beliau mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan afidavit balasan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwaan selaku pemohon terhadap Obyu yang dinamakan sebagai responden mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Najib, UMNO dan Global Royalty adalah pihak ketiga dalam permohonan itu.

Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu, kerajaan antara lain menyita sejumlah 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan, 16 unit aksesori jam tangan, 234 unit cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai sebanyak RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi.

Sebelum ini, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata, agensi itu telah memfailkan permohonan tersebut terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB yang SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun Najib.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 3:46 PM