GAMBAR Hiasan. FOTO Amir Mamat
GAMBAR Hiasan. FOTO Amir Mamat
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Perlis mengesahkan pelancong dari Hong Kong yang ditahan di Stesen Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar, hari ini hanya mengalami gejala demam dan bukannya dijangkiti wabak koronavirus baharu.

Pengarahnya Dr Sirajuddin Hashim berkata, dalam kejadian 11.45 pagi, pelancong wanita berusia 69 tahun itu dibenarkan meneruskan perjalanan ke Thailand selepas mendapatkan pemeriksaan khusus.

“Beliau dibawa ke bilik isolasi Klinik Kesihatan Padang Besar untuk pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan sejurus dikesan demam ketika melalui saringan kesihatan di PMA Padang Besar.

“Berdasarkan kepada maklumat sejarah perjalanan, penilaian risiko jangkitan dan pemeriksaan perubatan ke atas wanita terbabit, pasukan perubatan membuat kesimpulan bahawa dia tidak memenuhi definisi kes Person Under Investigation (PUI) koronavirus baharu.

“Dia juga tidak mempunyai sejarah perjalanan ke Wuhan, China mahupun ke China,” katanya menerusi kenyataan di Kangar, hari ini.

Terdahulu, portal berita Harian Metro melaporkan Perlis menafikan wabak koronavirus baharu mula tular di negeri itu ekoran penahanan pelancong warga Hong Kong di Stesen KTMB Padang Besar, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perlis, Teh Chai Ann dipetik berkata, perkara itu disahkan selepas mendapat pengesahan dalaman daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis.

Hari ini, tersebar gambar sebuah ambulans menunggu di perkarangan Stesen KTMB Padang Besar dan dua pelancong berusia 50-an ditahan selepas disyaki positif koronavirus baharu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 8:59 PM