ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran melibatkan sebuah asrama pekerja di Parit Salam, Parit Yusof Darat, Semerah, Batu Pahat kira-kira jam 8.40 pagi tadi.  FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran melibatkan sebuah asrama pekerja di Parit Salam, Parit Yusof Darat, Semerah, Batu Pahat kira-kira jam 8.40 pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
Adnan Ibrahim


KIRA-KIRA 40 pekerja tinggal sehelai sepinggang selepas asrama mereka musnah dalam kebakaran di Parit Salam, Parit Yusof Darat, Semerah dekat sini, pagi ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jefri Jamal berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 8.46 pagi.

Katanya, dua jentera jentera pemadam (FRT), dua kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS), tiga unit motosikal bomba (RIM) serta satu tangki air dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, turut membantu sebuah jentera Pasukan Bomba Sukarela Muar, Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Pasukan Bomba Sukarela Parit Yusof dengan kekuatan anggota keseluruhan seramai 22 orang anggota dan empat orang anggota Pasukan Bomba Sukarela.

Katanya, setibanya Pasukan Tindakan Operasi (PTO) di lokasi kejadian mendapati kebakaran membabitkan sebuah asrama pekerja jenis sementara kekal berkeluasan 39.6 x 6.9 meter.

“Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan kerana semua penghuni keluar bekerja ketika kejadian,“ katanya.

Menurut Jefri, operasi ditamatkan pada jam 11.49 pagi selepas api dapat dipadamkan sepenuhnya dan anggaran kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 4:08 PM