KEADAAN sekitar stesen bas Kota Bharu yang lengang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
KEADAAN sekitar stesen bas Kota Bharu yang lengang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
Hazira Ahmad Zaidi


PERKHIDMATAN bas henti-henti di Kelantan lumpuh hari ini, sekali gus meresahkan kebanyakan pengguna yang menggunakan kemudahan itu sebagai pengangkutan harian mereka.

Tinjauan NSTP di Stesen Bas Kota Bharu mendapati lokasi di sekitar kawasan berkenaan lengang dan kosong tanpa kehadiran bas henti-henti.

Ia mengakibatkan sesetengah pengguna terpaksa menggunakan kereta sewa atau perkhidmatan Grab.

Seorang pengguna, Juliana Supajam, 21, berkata, dia yang dari Kampung Alor Lintah, Jerteh terpaksa menghubungi rakannya di Kota Bharu untuk mengambil selepas mengetahui bas henti-henti tidak beroperasi.

“Saya tiada pilihan selain bertanya pemandu kereta sewa tambang yang dikenakan untuk ke Jerteh, namun harganya sangat mahal iaitu RM80 berbanding tambang bas RM6.20.

“Tambang yang dikenakan agak mahal menyebabkan saya meminta tolong daripada rakan yang tinggal di sekitar bandar ini,” katanya ketika ditemui di Stesen Bas Kota Bharu, hari ini.

Penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor Zahratunnisak Ab Rahman,19, berkata, dia dihantar oleh ayahnya pada 8.30 pagi hari ini kerana mempunyai urusan di Kota Bharu.

“Bagaimanapun, ketika sedang menunggu bas henti-henti untuk pulang ke rumah di Pasir Tumboh pada 12 tengah hari, pemandu menyapa dan memaklumkan bas tidak beroperasi hari ini.

“Memandangkan ayah mempunyai urusan dan tiada sesiapa datang ambil, saya menggunakan perkhidmatan Grab dan tambangnya sudah pasti tiga kali ganda lebih mahal,” katanya.

Sementara itu, usaha wartawan menghubungi pihak pengurusan bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu masih gagal.

Pada Disember tahun lalu, NSTP pernah melaporkan

perkhidmatan bas henti-henti di Kelantan lumpuh berikutan lebih 100 pemandu bas mogok, dipercayai tidak menerima gaji sejak beberapa bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 3:26 PM