PENGUNJUNG wanita berpakaian tidak sopan di bazar Ramadan diberi notis oleh anggota JAHEIK.
PENGUNJUNG wanita berpakaian tidak sopan di bazar Ramadan diberi notis oleh anggota JAHEIK.
Muhamaad Razis Ismail


JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) mengeluarkan notis hadir sesi khidmat nasihat kepada 39 wanita dikesan berpakaian tidak sopan dalam operasi dijalankan sekitar daerah ini, kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 10 pagi hingga 7 malam itu, dua individu turut diberi notis sama atas perbuatan tidak sopan iaitu tidak berpuasa.

Difahamkan JAHEAIK turut memberi teguran secara lisan kepada lapan individu terhadap kesalahan berpakaian tidak sopan.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah) JAHEAIK Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, seramai 70 penguat kuasa terdiri daripada pelbagai agensi seperti Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) terbabit dalam operasi itu.

Katanya, selepas taklimat anggota dipecahkan ke beberapa lokasi dsekitar daerah ini termasuk bazar Ramadan, premis kedai makan, bank dan pusat beli-belah.

“Sepanjang operasi dijalankan, JAHEAIK mengeluarkan notis khidmat hadir khidmat nasihat kepada 39 wanita berpakaian tidak sopan dan lapan lagi diberi teguran lisan.

“Kita turut memberi notis khidmat nasihat kepada dua individu yang tidak berpuasa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, operasi yang tamat pada jam 7 malam itu berjalan lancar dan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Operasi sama akan dijalankan dari semasa ke semasa sepanjang Ramadan ini untuk memastikan orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 6:15 AM