AMINUDDIN (dua kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan dapur kepada Rubiah (tiga kanan) di Kampung Dioh Besar. FOTO Amran Yahya
AMINUDDIN (dua kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan dapur kepada Rubiah (tiga kanan) di Kampung Dioh Besar. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


“JIKA dulu saya tinggal di rumah usang tidak berpintu dan berdinding, kini hidup saya lebih selesa selepas menerima sumbangan rumah baharu,” itu luah ibu tunggal Rubiah Jamal, 66.

Rubiah dari Kampung Dioh Besar, Kuala Pilah menerima rumah baharu menerusi Bantuan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, semalam.

Sejak 10 tahun lalu, Rubiah yang mendiami rumah pusaka peninggalan arwah orang tuanya dan itulah tempat berteduh dia bersama adik-beradik lain.

Rumah itu beratapkan nipah dan dinding buluh, namun semakin usang apabila atap dan dinding semakin reput akibat dimakan anai-anai.

Selepas Rubiah menerima sumbangan rumah baharu itu, dia lega dan bersyukur kerana kini dapat berteduh dengan lebih selesa dan selamat.

Rubiah berkata, dia berterima kasih kepada pihak yang sudi ‘menghadiahkan’ rumah baharu itu, meskipun kediaman itu kecil dan hanya mempunyai satu bilik.

“Sebelum ini (di rumah usang lama), sekiranya hujan, atap zink bocor dan dinding kayu banyak yang reput cukup membimbangkan saya.

“Saya tak mampu baiki kerana tiada kewangan dan hanya menerima wang dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal sahaja.

“Sekarang saya tidak perlu lagi risaukan semua itu. Walaupun (rumah baharu) kecil, ia mempunyai sebuah bilik yang memberi keselesaan kepada saya,” katanya ketika pada majlis penyerahan kunci rumah itu, semalam.

KEADAAN rumah  Rubiah yang usang. FOTO Amran Yahya
KEADAAN rumah Rubiah yang usang. FOTO Amran Yahya

Majlis disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut hadir Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Kuala Pilah, Fadzil Ismail dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Rais Basiron.

Sementara itu, Rais berkata, perancangan awal rumah usang milik Rubiah akan dibaik pulih sahaja dengan kos sebanyak RM20,000 menggunakan Bantuan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Pembinaan rumah itu memakan masa selama tiga minggu bermula pada 5 Disember dan siap sepenuhnya pada 28 Disember,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 11:59 AM