MOHD Nor Yhazid (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai senjata yang dirampas daripada suspek termasuk pistol tiruan pada sidang media di IPK Melaka. FOTO Amir Mamat.
MOHD Nor Yhazid (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai senjata yang dirampas daripada suspek termasuk pistol tiruan pada sidang media di IPK Melaka. FOTO Amir Mamat.
Amir Mamat


HASRAT sekumpulan penjenayah untuk bermewah dengan hasil samun tidak bertahan lama apabila kegiatan mereka ditumpaskan polis, semalam.

Kumpulan penjenayah dikenali Geng Olan itu tumpas dalam satu operasi khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris.

Mohd Nor Yhazid berkata, tangkapan kumpulan berkenaan susulan kes samun bersenjata di sebuah butik di Jalan Komersil Taman Kota Fesyen, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Ahad lalu.

“Modus operandi kumpulan berkenaan adalah menggunakan penduduk setempat sebagai penunjuk arah bagi mengenal pasti sasaran sebelum melakukan kegiatan samun.

“Anggota kumpulan ini turut menyamar sebagai anggota polis selain menggunakan kenderaan curi serta nombor pendaftaran palsu semasa melakukan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, Melaka, hari ini.

Mohd Nor Yhazid berkata, sepasukan polis menemui kereta Proton Waja digunakan suspek di Cheng pada 12.30 tengah hari semalam dan mengekorinya sehingga ke Taman Seri Krubong.

Beliau berkata, selepas menyedari mereka diekori, semua suspek meninggalkan kereta lalu melarikan diri sebelum ditahan menerusi beberapa siri serbuan di kawasan berkenaan.

“Polis menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 31 tahun, termasuk ketua kumpulan dikenali sebagai Olan.

“Hasil tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan 10 kes samun dan beberapa kes pecah rumah di sekitar Melaka dan Johor,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, beberapa peralatan serta senjata untuk menyamun termasuk pistol tiruan dirampas selain menemui hasil samun seperti barang kemas dan telefon bimbit.

Menurutnya, semua suspek direman sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 5:49 PM