SARJAN Penjara Mohd Fitri Haizal Mansor (kiri) dan abangnya Sarjan Penjara Mohd Fitri Maizal mengawal banduan Kemahiran Luar Penjara (BKLP) di Penjara Penor. FOTO MOHD RAFI MAMAT
SARJAN Penjara Mohd Fitri Haizal Mansor (kiri) dan abangnya Sarjan Penjara Mohd Fitri Maizal mengawal banduan Kemahiran Luar Penjara (BKLP) di Penjara Penor. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


DITUGASKAN mengawal tiga rakan sekolah bergelar banduan kerana kesalahan dadah antara pengalaman dilalui sepanjang 15 tahun bertugas sebagai warden di Penjara Penor, di Kuantan.

Walaupun berat hati, namun demi tugas, ia terpaksa dilakukan. Demikian antara kenangan pasangan kembar seiras berusia 38 tahun, Sarjan Penjara Mohd Fitri Haizal Mansor dan abangnya Sarjan Penjara Mohd Fitri Maizal.

Bagi Mohd Fitri Haizal, pada peringkat bertugas, perasaan takut dan bimbang sentiasa ada, namun selepas tiga bulan ia tidak lagi berlaku.

Katanya, minat serta keikhlasan bertugas perlu sentiasa ada dalam diri bagi memastikan tidak bosan menjalankan tugas hampir sama setiap hari.

Menurutnya, tugas mengawal banduan memerlukan ketegasan, namun golongan berkenaan sebenarnya patuh dengan arahan.

“Sebelum ini, pernah berlaku banduan bertukar antara saya dan abang, mereka tidak dapat membezakan kami berdua hingga ada yang seolah keliru dan seperti tidak percaya.

“Banduan cakap saya tipu mereka setiap kali bertugas, kejadian berkenaan antara kisah lucu sepanjang bertugas di Penjara Penor,” katanya, hari ini.

Dia yang berasal dari Taman Jambu, Pekan berkata, rakan setugas juga sering keliru apabila mereka tidak membezakan mereka, walaupun setiap hari bertemu.

Bagi Mohd Fitri Maizal, gelaran kembar sudah menjadi kebiasaan digunakan rakan setugas sejak mula bertugas di Penjara Penor dan ada juga banduan yang memanggil encik kembar.

“Kami mungkin kembar yang pertama di negara ini bertugas dengan Jabatan Penjara Malaysia, peluang dinaikkan pangkat kami diterima secara serentak bersama.

“Ramai rakan setugas tidak dapat membezakan kami berdua hingga menyebabkan mereka tersalah, kini bahagian tempat bertugas membezakan kami sebagai penanda,” katanya yang bertugas mengawal Banduan Kemahiran Luar Penjara (BKLP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 9:40 AM