DATUK Ahmad Suaidi Abdul Rahim. FOTO Faiz Anuar
DATUK Ahmad Suaidi Abdul Rahim. FOTO Faiz Anuar
Muhammad Zulsyamini Sufian

TIGA lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik menganggotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dalam kenyataan berkata, mereka ialah ADUN Changkat Jering Ahmad Saidi Mohamad Daud, ADUN Lintang Datuk Mohd Zolkafly Harun dan ADUN Bota Khairul Shahril Mohamed.

Katanya, istiadat perlantikan dan mengangkat sumpah untuk ketiga-tiga jawatan itu berlangsung secara ringkas sebelum Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14.

"Pentadbiran kerajaan negeri Perak dengan penuh hormat merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk melantik tiga lagi ADUN sebagai Exco.

"Pelantikan ini bagi mengisi kekosongan portfolio yang kini dipangku oleh tiga Exco sedia ada seperti diumumkan Menteri Besar Perak (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) pada 7 April lalu.

"Ia sekali gus melengkapkan pembentukan jentera pentadbiran kerajaan negeri, selari dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaaan Negeri Perak Darul Ridzuan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, portfolio yang akan digalas oleh tiga Exco terbabit belum diputuskan selain tidak menolak kemungkinan akan berlaku rombakan secara keseluruhan.

"Saya akan berjumpa dan berbincang dengan mereka, selain mengambil pandangan dua ketua parti komponen Perikatan Nasional (PN) negeri," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berkata, jawatan Speaker DUN Perak kini disandang Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid bagi menggantikan ADUN Beruas, Ngeh Koo Ham yang mengosongkan jawatan itu, hari ini.

Katanya, ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya dilantik sebagai Timbalan Speaker.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 6:03 PM