BUNGKUSAN daun ketum yang ditinggalkan penyeludup. FOTO IHSAN PGA
BUNGKUSAN daun ketum yang ditinggalkan penyeludup. FOTO IHSAN PGA
Zuliaty Zulkiffli


SINDIKET penyeludup daun ketum sanggup meninggalkan bungkusan guni itu dalam kawasan semak untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

Ini berdasarkan rampasan hampir satu tan daun ketum oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam dua serbuan Ops Wawasan Kedah/Perlis, hari ini.

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Rosman Kasman berkata, dalam serbuan 6.30 pagi tadi, Batalion Campuran PGA merampas 15 guni daun ketum seberat 450 kilogram di sempadan Malaysia-Thailand.

Menurutnya, dalam serbuan kedua, anggota PGA merampas 17 guni daun ketum seberat 510 kilogram berhampiran Padang Besar, Perlis jam 5 petang.

“Rampasan daun ketum seberat 960 kilogram bernilai RM144,000 itu dipercayai cuba diseludup ke Thailand mengikut jalan keselamatan sempadan.

“Tiada tangkapan dilakukan dalam dua kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, semua rampasan diserahkan kepada pihak polis dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 11:05 PM