Tengku Aamina. FOTO Ihsan Siti Madihah Muhammad
Tengku Aamina. FOTO Ihsan Siti Madihah Muhammad
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“HARI ini genap umur Aamina enam bulan tapi tidak sangka dia pergi secepat ini meninggalkan kami sekeluarga,” kata Siti Madihah Muhammad, 33, ibu kepada Tengku Aamina Tengku Mohd Ikhwan yang disahkan maut di sebuah taska di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Bukit Jalil, petang kelmarin.

Menceritakan semula detik hitam itu, Siti Madihah berkata, anak keduanya itu dihantar ke taska yang terletak di bawah rumahnya dalam keadaan sihat dan ceria jam 6.45 pagi.

Menurutnya, pada jam 4.45 petang dia menerima panggilan telefon dari klinik swasta tidak jauh dari taska berkenaan yang memaklumkan supaya segera ke pusat perubatan berkenaan untuk melihat keadaan anaknya.

“Saya yang baru tiba di rumah cemas selepas mendapat perkhabaran itu sebelum bergegas ke klinik berkenaan untuk melihat keadaan Aamina.

“Tidak lama selepas itu, baru pemilik taska menghubungi dan memaklumkan Aamina sudah tiada (meninggal dunia). Saya terus

menghubungi suami memaklumkan kejadian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Siti Madihah berkata, berdasarkan maklumat yang diberikan pemilik taska, arwah anaknya itu tidur jam 2.30 petang namun ditemui dalam keadaan terlangkup dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke klinik.

Katanya, doktor memaklumkan Aamina sudah meninggal dunia ketika sampai untuk menerima rawatan kecemasan di klinik berkenaan dan dalam keadaan pucat.

“Saya terkilan kejadian ini berlaku kerana sepatutnya pengasuh perlu memantau bayi di bawah jagaan mereka kerana Aamina sudah pandai meniarap.

“Saya dan suami reda dengan kejadian ini namun masih berharap keadilan untuk Aamina selain membiarkan siasatan lanjut dilakukan polis,” katanya.

Jenazah Aamina dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di Putrajaya jam 4 petang semalam selepas selesai bedah siasat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, polis akan memanggil pengendali taska di Bukit Jalil itu untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Mohamed Mokhsein berkata, setakat ini, pihaknya masih mengklasifikasikan kes maut bayi berusia lima bulan itu sebagai mati mengejut.

"Laporan bedah siasat yang dibuat pakar patologi hospital semalam, mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah. Bagaimanapun, laporan analisa makmal (bagi mengesahkan punca kematian bayi itu) belum selesai lagi.

"Pada masa sama, kita akan rakam percakapan individu dan pihak dikaitkan dengan kes ini termasuk pengendali taska itu bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 4:15 PM