Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI sedang dikesan selepas memarahi penguat kuasa kesihatan yang sedang melakukan penguatkuasaan larangan merokok di sebuah kedai makan di Kuala Berang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, tindakan itu diambil selepas suspek enggan memberi kerjasama dan mengeluarkan kata-kata mahu menumbuk mangsa.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 6.15 petang ketika mangsa berusia 40 tahun bersama beberapa rakan setugas dari Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu sedang membuat pemantauan dan penguatkuasaan.

“Anggota penguat kuasa ternampak seorang lelaki merokok di kedai berkenaan sebelum menghampiri dan memperkenalkan diri.

“Suspek yang menyedari kehadiran penguat kuasa bertindak membuang rokok yang dihisap sebelum mangsa meminta lelaki terbabit memberikan kad pengenalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Adli berkata, suspek enggan memberi kerjasama.

Menurutnya, bimbang kejadian menjadi kecoh memandangkan terdapat ramai pelanggan ketika itu, mangsa bersama rakan setugas beredar dari kedai berkenaan

“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang semalam untuk tindakan lanjut

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 4:31 PM