Recqueal Raimi


PENDUDUK Kampung Serusup, Tuaran gempar apabila seekor buaya naik ke kawasan darat dari tepi laut dipercayai mahu membaham ayam peliharaan kira-kira jam 9 malam semalam.

Buaya dianggarkan tiga meter itu juga semakin bertindak agresif selepas menyedari kehadiran lebih 50 penduduk termasuk penduduk Kampung Tajau yang datang melihat reptilia berkenaan.

Saksi kejadian mahu dikenali Azrah, 23, berkata, reptilia itu mula disedari penduduk sejak Jumaat lalu di perairan laut, namun ia kali pertama naik ke kawasan darat semalam.

“Beberapa ekor ayam peliharaan yang berkeliaran di tepi laut (berhampiran rumah) mungkin menarik perhatian buaya itu sehingga dilihat menghampiri ayam dan cuba membahamnya, namun gagal sebaik menyedari kehadiran penduduk.

“Sementara menunggu pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba, buaya itu kembali ke laut sebelum tenggelam dan hilang,” katanya ketika ditemui NSTP.

Menurut Azrah yang juga anggota APM, penduduk kini risau dan dalam keadaan sentiasa berwaspada memandangkan jeti berhampiran digunakan untuk berulang-alik ke Kampung Penimbawaan menggunakan bot.

Sementara itu, Pegawai APM Unit Tuaran, Paulina Francis berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian jam 9.11 malam.

Beliau berkata, penduduk memaklumkan kejadian itu adalah kali ketiga ia dilihat sejak Jumaat lalu.

“APM sempat melihatnya di tepi laut dan cuba menangkap menggunakan penjerut tetapi tidak berjaya kerana gelap dan ia bertindak agresif sebelum tenggelam.

“Pasukan APM menjalankan pemantauan hampir 30 minit di sekitar lokasi, namun reptilia itu tidak ditemui,” katanya.

Paulina berkata, penduduk dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendirian dan segera menghubungi APM sekiranya kejadian berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 1:36 PM
KELIBAT buaya berkenaan. FOTO Recqueal Raimi
KELIBAT buaya berkenaan. FOTO Recqueal Raimi