GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Melvin Joni


KELEKAAN seorang perompak mengumpulkan barangan yang hendak dicurinya selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Dahlia, Jalan Depo di Kuching, mengundang padah apabila dia dicekup pemilik rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik rumah itu pada jam 5 pagi tadi.

“Mangsa hanya sedar rumahnya dimasuki individu tidak dikenali selepas dimaklumkan jirannya sebelum melaporkan kejadian itu kepada kita,” katanya.

Awang Din berkata, ketika kejadian rumah berkenaan tidak berpenghuni.

“Sebaik pemilik rumah mendapat tahu rumahnya dipecah masuk, dia pergi ke situ dan mendapati penceroboh masih berada dalam rumahnya kerana barang-barang yang hendak dicuri masih dikumpulkan di hadapan rumah.

“Pemilik rumah kemudiannya mengunci pintu utama rumahnya itu dari luar dan menghubungi jiran serta saudaranya bagi mendapatkan bantuan.

"Dia (pemilik rumah) bersama tiga individu lain iaitu jiran dan saudaranya masuk ke rumah berkenaan bagi menangkap suspek. Hasil pemeriksaan, mereka dapati suspek bersembunyi di dalam stor kecil dan menguncinya dari dalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, selepas pemilik rumah berjaya membuka stor yang menjadi tempat persembunyian suspek, lelaki terbabit meluru keluar dan menyerang mangsa menggunakan tukul dan senjata tajam menyebabkan seorang daripada mereka mengalami kecederaan di kepala dan tangan.

Katanya, mangsa yang cedera adalah seorang anggota polis yang bertugas di Batalion 11, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa dan telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.

“Pelbagai peralatan pecah rumah juga dirampas daripada lelaki berusia 33 tahun itu. Suspek juga dibawa ke HUS kerana mengalami kecederaan ketika bergelut dengan mangsa,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 448/324 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 8:46 PM