Nur Saliawati Salberi


SEORANG juru dawai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini atas pertuduhan membelasah isterinya hingga parah.

Mohd Faizal Jamaludin, 36, bapa lima anak itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan parah terhadap isterinya yang berusia 38 tahun dan tidak bekerja itu.

Dia didakwa menendang sehingga mangsa patah tangan kanan di sebuah rumah di Taman Paya Emas, Melaka pada 11.30 malam 17 November 2019.

MOHD Faizal diiringi polis selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memukul isteri sehingga parah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini. FOTO Khairunisah Lokman
MOHD Faizal diiringi polis selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memukul isteri sehingga parah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini. FOTO Khairunisah Lokman

Pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos tidak mencadangkan sebarang jaminan disebabkan tertuduh pernah didakwa atas kesalahan sama pada April 2019.

Elesabet kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan diarahkan ditahan di lokap penjara sementara menunggu sebutan semula kes dan lantikan peguam pada 10 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 2:24 PM