FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akui kertas soalan peperiksaan bagi Kursus Hubungan Etnik (UUW235) yang mengaitkan pendakwah dari India, Dr Zakir Naik yang tular baru-baru ini ditafsir di luar konteks oleh pihaknya.

Naib Canselor UniMAP Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, menerusi hasil siasatan dalaman, terdapat kesilapan oleh pihaknya ketika menterjemah soalan berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati terdapat kekhilafan dalam menterjemah perkataan ‘ignorant’ kepada bodoh bagi pilihan jawapan ke-IV soalan 60.

“Bagaimanapun, pembinaan soalan subjek UUW235 adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) akademik yang telah ditetapkan malah, kesemua panel penilai soalan yang dilantik oleh pihak universiti terdiri daripada pelbagai bidang akademik dan kaum,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menerusi Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menyiasat mengenai soalan peperiksaan di UniMAP yang mencetuskan kontroversi.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, kementerian mengarahkan siasatan kerana soalan dikemukakan di universiti itu dianggap sensitif oleh beberapa pihak, disebabkan mempunyai kaitan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pengukuhan Jawi dan Dr Zakir Naik sebagai ikon dunia Islam.

Mengulas lanjut, R Badlishah berkata, pihaknya akan meneliti semula penilaian soalan agar tidak terlalu spesifik sehingga mampu menyentuh sensitiviti antara kaum.

“Pada masa sama, sekiranya ada soalan berbentuk pendapat, ia tidak akan dimasukkan dalam soalan berbentuk jawapan berpilihan (MCQ) sebaliknya akan menjurus kepada soalan fakta dan teori sahaja.

“Adalah ditegaskan, pihak universiti sentiasa berusaha untuk tidak terbabit sama sekali dengan segala isu bersifat kontroversi.

“Walaupun begitu, pihak universiti sentiasa terbuka untuk menerima segala pandangan dan penambah baikan daripada semua pihak,” katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 6:36 PM