Mazlan (tengah) menunjukkan bukti kes. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Mazlan (tengah) menunjukkan bukti kes. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan


POLIS Kuala Lumpur menumpaskan Geng Jimmy yang menawarkan pinjaman wang peribadi tidak wujud dalam serbuan di sebuah rumah dua tingkat di Nilai, Negeri Sembilan pada 25 Disember lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, serbuan dilakukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju selepas menerima laporan berhubung sindiket terbabit.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa yang curiga dengan pinjaman itu selepas suspek meminta sejumlah wang bagi memproses permohonan pinjaman berkenaan.

“Mangsa berusia 36 tahun itu tertarik dengan tawaran pinjaman berkenaan yang ditawarkan melalui laman sosial. Dia (mangsa) mendakwa mahu memohon pinjaman bernilai RM20,000.

“Selepas menyerahkan dokumen peribadi miliknya kepada sindiket melalui WhatsApp, mangsa diminta membayar RM800 kononnya sebagai caj untuk memproses pinjaman itu. Sindiket kemudian meminta wang tambahan RM2,000 kononnya sebagai kos guaman.

“Akibat curiga, dia (mangsa) tampil ke membuat laporan polis sebelum siasatan dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, dalam serbuan berkenaan pihaknya menahan 10 ahli sindiket termasuk tiga wanita.

“Mereka berusia antara 19 tahun hingga 33 tahun dipercayai menjalankan kegiatan terbabit sejak Oktober lalu.

“Polis turut merampas 32 keping cek palsu, telefon bimbit (18), komputer riba (3) dan satu mesin cetak selain beberapa buku yang mengandungi skrip untuk berhubung dengan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sudah dituduh di Mahkamah Majistret Kompleks Mahkamah Jalan Sultan Abdul Hakim pada 31 Disember lalu.

“Kita percaya lebih ramai menjadi mangsa kepada sindiket itu dan meminta mereka untuk tampil membuat laporan polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 5:06 PM