Dzulkhairi (dua dari kanan) ketika sidang media kes sindiket pinjaman tak wujud. FOTO Hairul Anuar Rahim
Dzulkhairi (dua dari kanan) ketika sidang media kes sindiket pinjaman tak wujud. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


POLIS menumpaskan Geng G Credit selepas menahan 11 individu berusia 17 hingga 28 tahun yang mendalangi 162 kes pinjaman wang tidak wujud di seluruh negara bernilai RM1.302 juta dalam dua serbuan Ops Seagull di Iskandar Puteri, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek ditahan di dua lokasi berasingan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri selama sebulan.

“Tangkapan pertama membabitkan tiga individu pada jam 10 malam di hadapan kedai serbaneka di Jalan Indah, Taman Bukit Indah yang disyaki terbabit sindiket pinjaman wang tidak wujud.

“Susulan itu, serbuan kedua dilakukan ke atas dua rumah di sekitar Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri sebelum menahan lapan lagi individu serta merampas pelbagai barangan kerana terbabit kes sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri hari ini.

Katanya, pelbagai barang dirampas termasuk komputer riba, mesin pencetak, dokumen palsu digunakan untuk memperdayakan mangsa.

“Turut dirampas 176 surat kelulusan pinjaman wang atas nama Syarikat G Credit (Malaysia) Sdn Bhd, lapan polisi insurans, 12 sijil setem hasil, sijil kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) dan 14 cek palsu.

“Polis juga merampas skrip perbualan untuk menipu mangsa, jadual bayar balik pinjaman, telefon bimbit, senarai maklumat peminjam, catitan hasil wang penipuan, simkad, kad ATM dan slip kemasukan wang pelbagai bank,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, taktik pengiklanan digunakan sama seperti ‘along’, menawarkan pinjaman mudah hingga ratusan ribu ringgit, namun wang terbabit tidak pernah wujud.

“Suspek akan menghubungi mangsa dan menawarkan pinjaman wang.

“Selepas mangsa bersetuju meminjam wang, suspek meminta dokumen peribadi bagi tujuan memproses pinjaman wang.

“Selepas mangsa menghantar dokumen melalui WhatsApp, suspek menghubungi semula mangsa untuk membayar wang RM300 hingga RM500 kononnya membayar cukai.

“Pada masa sama suspek mendakwa membuat sendiri sijil setem hasil sebelum dihantar kepada mangsa untuk membolehkan wang dimasukkan ke dalam akaun bank suspek,” katanya.

Katanya, suspek sekali lagi meminta wang antara RM1,000 hingga RM3,000 bagi bayaran insurans dan akan menghantar satu imej cek palsu kepada mangsa dan meminta lagi jumlah lain mencecah RM5,000.

“Mereka memberi alasan cek itu tersalah dan perlu mengeluarkan cek baru dan berjanji pinjaman wang akan dimasukkan dalam akaun bank mangsa,” katanya.

Katanya, suspek yang ditahan membabitkan geng sama dan dibayar gaji pokok RM1,500 dan diberikan komisyen lima hingga 10 peratus mengikut jumlah wang dibayar mangsa.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket beroperasi selama enam bulan dan menyewa rumah selama dua bulan di sesebuah rumah sebelum berpindah ke rumah lain.

Katanya, semua suspek direman sehingga 1 Februari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pada masa sama katanya, IPD Iskandar Puteri menerima 53 laporan polis berkaitan sindiket pinjaman wang tidak wujud membabitkan kerugian RM700,000 tahun lalu dan sembilan kes dengan kerugian RM32,000 tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 12:52 PM