Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan tengah hari tadi. FOTO Ihsan FB Community Roda Johor (CRJ)
Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan tengah hari tadi. FOTO Ihsan FB Community Roda Johor (CRJ)
Mohd Sabran Md Sani


LALUAN di Kilometer 20.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Kulai, sesak kira-kira lapan kilometer (km) susulan dua kemalangan hari ini.

Kesesakan luar biasa itu selepas kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan tiga lori pada 1.30 tengah hari tadi.

Maklumat berkaitan kesesakan laluan itu dikongsi status PLUS@E2 pada 3.10 petang tadi.

“Status kemalangan KM20.4 arah selatan, lorong kanan arah selatan dibuka manakala arah utara lorong kanan dan kiri masih ditutup.

“Hanya lorong kecemasan boleh dilalui. Trafik sesak arah selatan lapan km manakala arah utara sesak lima km,” kongsi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam FB rasmi LLM.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, penunggang motosikal cedera selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan lori kontraktor pembersihan pada 1.30 tengah hari.

Katanya, motosikal mangsa melanggar belakang sebuah lori.

“Kemalangan pertama membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah lori.

“Pada masa sama sebuah lori cuba brek selepas melihat kejadian namun dilanggar lori tangki dari arah belakang sebelum terbabas dan terbalik di tengah laluan,” katanya.

Katanya, penunggang motosikal berusia 28 tahun mengalami kecederaan.

“Butiran mangsa yang terbabit belum diperoleh lagi dan maklumat lengkap menyusul,” katanya.

Terdahulu tular kemalangan membabitkan kenderaan itu selain jalan itu dipenuhi minyak yang tumpah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 4:26 PM