MENTERI Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tengah) diiringi Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani (kanan). FOTO Hairul Anuar Rahim
MENTERI Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tengah) diiringi Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani (kanan). FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


JOHOR menyambut ketibaan 160 pelancong dari Incheon, Korea Selatan selaku kumpulan pelancong luar negara pertama yang tiba ke negeri ini menaiki pesawat sempena Tahun Melawat Johor 2020 yang bermula hari ini.

Ketibaan kumpulan pelancong menggunakan penerbangan Jin Air itu disambut Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung berkata, LTAS menjadi satu daripada 13 pintu masuk di Johor dengan majlis sambutan kumpulan pelancong pertama turut diadakan secara serentak di lokasi lain, hari ini.

“Lokasi sambutan lain adalah di JB Sentral, Plaza Tol Skudai, Plaza Tol Tanjung Kupang, Larkin Sentral, Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, Terminal Feri Berjaya Waterfront, Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Muar, Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Hentian Lucky Garden, Terminal Feri Tanjung Pengelih dan Terminal Feri Tanjung Belungkor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berkenaan di LTAS di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Majlis ringkas dengan pukulan alat muzik Jidur serta persembahan tarian ‘Selamat Datang’ memeriahkan lagi acara sambutan berkenaan.

Pada masa sama, Liow berkata, penerbangan Incheon ke Johor Bahru ditambah daripada tujuh kali seminggu kepada 14 kali seminggu bermula Disember lalu.

“Ini bermakna, dalam masa tiga bulan ini, akan ada dua penerbangan dari Korea Selatan ke Johor setiap hari, sekali gus akan meningkatkan jumlah kemasukan pelancong negara berkenaan ke negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, bagi tahun lalu, jumlah kedatangan pelancong Korea Selatan ke Johor adalah seramai 156,634 sehingga bulan November, manakala pada 2018 mencatat kemasukan 167,444 orang.

Beliau turut yakin jika tempoh tambahan laluan itu dapat dipanjangkan sepanjang tahun ini, sasaran kemasukan pelancong seramai 18.4 juta orang sempena Tahun Melawat Johor 2020 akan dapat dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 6:08 PM