WARGA Indonesia memenuhi ruang lobi Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour hari ini untuk pulang ke kampung halaman mereka di Batam dan Tanjung Balai menjelang Aidilfitri. FOTO Bernama.
WARGA Indonesia memenuhi ruang lobi Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour hari ini untuk pulang ke kampung halaman mereka di Batam dan Tanjung Balai menjelang Aidilfitri. FOTO Bernama.
BERNAMA

Iskandar Puteri: Pelbagai 'ole-ole' dibawa pulang warga Indonesia yang bekerja di negara ini bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

Tinjauan Bernama di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour di sini

mendapati kuih raya, baju raya selain minuman kegemaran rakyat Malaysia, Milo dibawa pulang warga negara jiran itu bagi dikongsi bersama sanak saudara.

Tukang masak Umi Kalsum Md Noor, 49, membeli lebih 10 jenis kuih raya untuk dihidangkan kepada keluarga dan rakan-rakan yang berkunjung ke rumahnya sempena Syawal di Selat Panjang, Indonesia.

"Senang beli sahaja tak perlu buat sebab dah penat memasak," katanya yang sudah bekerja lebih 10 tahun di Malaysia.

DUA anggota polis bantuan memeriksa pasport dan tiket pelepasan warga Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour. FOTO Bernama.
DUA anggota polis bantuan memeriksa pasport dan tiket pelepasan warga Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour. FOTO Bernama.

Bagi pemandu lori, Rosman Sujadi, 41, berkata keterujaan untuk pulang berhari raya di kampung amat dirasai memandangkan sudah tiga tahun beraya di perantauan.

Dia yang berasal dari Tanjung Batu, Indonesia berkata buah tangan seperti pakaian dan makanan dibeli untuk dikongsi bersama keluarga.

"Macam-macam rasanya hendak dibawa pulang, kalau boleh satu Malaysia nak dibawa balik," katanya.

Sementara itu, Pengarah Syarikat Operator Feri, Tobindo (M) Sdn Bhd Muhammad Aiman Jazmy berkata jumlah penumpang direkodkan meningkat dua ke tiga kali ganda bermula semalam hingga Jumaat ini.

"Macam trip hari biasa ada empat trip ke Tanjung Balai dan ke Batam dan hari terakhir ini kita tambah dua lagi trip untuk menampung sekitar 5,000 hingga 6,000 penumpang," katanya.,

Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour yang dimiliki dan dikendalikan UEM Sunrise Berhad ini adalah satu daripada pintu masuk dan keluar negara membabitkan laluan antara Johor dan Indonesia.

Selain terminal feri ini, pintu masuk antarabangsa ke Johor membabitkan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Terminal Feri Antarabangsa Johor Bahru, Terminal Feri Antarabangsa Kukup dan Terminal Feri Desaru Coast.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 9:31 PM