ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran hutan berhampiran susur keluar ke Nilai arah utara, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran hutan berhampiran susur keluar ke Nilai arah utara, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Hasbi Sidek


PENGGUNA Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar dari Nilai arah utara, cemas susulan kebakaran hutan terletak bersebelahan lebuh raya itu, tengah hari tadi.

Kejadian 1.45 tengah hari itu turut menyebabkan satu papan iklan di lokasi itu terbakar dan rosak.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kebakaran membabitkan hutan seluas 0.8 hektar, namun api berjaya dikawal pihaknya.

Beliau berkata, proses memadamkan kebakaran masih dijalankan sehingga 4 petang hari ini.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada 1.56 tengah hari sebelum sepasukan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai bergegas ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan semak dan hutan seluas 0.8 hektar di bahu jalan berhampiran Taman Akasia. Pasukan bantuan dari BBP Seremban 2 turut ke lokasi bagi membantu memadamkan kebakaran," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal sebelum merebak ke kawasan lebih luas.

Katanya, kerja pemadaman masih dijalankan bagi memastikan api padam sepenuhnya dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 5:54 PM