KEADAAN hutan seluas 4.04 hektar di Jalan Kampung Bukit Tembok, berhampiran Pasir Panjang yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN hutan seluas 4.04 hektar di Jalan Kampung Bukit Tembok, berhampiran Pasir Panjang yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Khidir Zakaria


KAWASAN hutan seluas 4.04 hektar di Jalan Kampung Bukit Tembok, berhampiran Pasir Panjang, Port Dickson, terbakar, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Kemang, Lokman Ghani berkata, kebakaran berpunca akibat cuaca panas ketika ini.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.27 pagi dan susulan itu 17 anggota dari BBP Telok Kemang dan Port Dickson dikejarkan ke lokasi.

“Kami tiba di lokasi pada jam 11.50 pagi dan ketika itu api sudah marah. Berikutan itu operasi memadamkan kebakaran terus dijalankan dan api berjaya dikawal 30 minit kemudian,” katanya.

Menurut Lokman, pihaknya mengambil masa empat jam untuk memadamkan kebakaran dan anggota bomba masih ditempatkan di lokasi bagi memantau keadaan.

“Hutan ini membabitkan kawasan yang luas dan anggota terpaksa mengerah kudrat untuk memadam kebakaran.

“Fokus utama kami adalah bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan penempatan berhampiran,” katanya.

Lokman, menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan cuaca panas melanda negara ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 5:16 PM