WAN Nurbalqis Nadhirah menghidap masalah jantung berlubang. FOTO Nurul Shafina Jemenon
WAN Nurbalqis Nadhirah menghidap masalah jantung berlubang. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Zaharah Anum Mohd Tuah


KELAHIRAN anak bongsu, Wan Nurbalqis Nadhirah cukup ditunggu pasangan Wan Mohd Rozi, 43, dan Sofiah Liza Pijoh, 37.

Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila anak comel itu disahkan mengalami masalah jantung.

BH Online melaporkan, Wan Nurbalqis Nadhirah, 4, dikesan mempunyai komplikasi jantung iaitu kelahiran tanpa injap jantung ke paru-paru ketika masih dalam kandungan.

Sofiah berkata, keadaan Wan Nurbalqis semakin merosot semasa dalam kandungan apabila denyutan jantung semakin lemah menyebabkan dia perlu dilahirkan tiga bulan lebih awal.

“Anak saya terpaksa berada di hospital selama sebulan selepas dilahirkan kerana keadaan kesihatannya memerlukan pemantauan rapi. Dia juga perlu bergantung dengan alat bantuan pernafasan.

“Kami ada dua anak lain yang perlu disara. Kami sudah berusaha, namun dengan hanya mengharapkan pendapatan suami tidak cukup untuk menampung kos pembedahan ini.

“Saya berharap orang ramai memberikan sumbangan supaya dia dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Wan Mohd yang bekerja sebagai pemandu, berkata, anaknya itu memerlukan bantuan kewangan kira-kira RM60,000 bagi menampung kos pembedahan yang akan dijalankan tidak lama lagi di Gleneagles Kuala Lumpur.

Beliau berkata, anaknya pernah menjalani pembedahan sama, ketika berusia dua tahun di hospital yang sama.

“Ini pembedahan kali kedua buat Nurbalqis bagi menggantikan injap tiruan yang lama, disebabkan keadaan injap tiruan terdahulu terlalu kecil untuk menampung saiz saluran jantung sekarang, sehingga berlaku kebocoran.

“Anak saya mungkin perlu menjalani pembedahan itu lagi pada masa akan datang, bergantung kepada ketahanan injap itu,” katanya.

Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Heart Health Association (MyHeart) tampil menderma RM5,000 bagi meringankan beban dihadapi Nurbalqis.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 5141 0532 3170.

Sumbangan juga boleh dibuat melalui cek dengan menulis nama pesakit (Wan Nurbalqis Nadhirah Wan Mohd) di belakang cek dan dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad, Tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, No. 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 5:50 PM