GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


BAPA cedera muka selepas dipukul anak kandungnya yang tiba-tiba mengamuk dipercayai kerana masalah keluarga.

Dalam kejadian 9 pagi kelmarin di sebuah rumah di Tepoh, Kuala Nerus lelaki berusia 28 tahun itu dikatakan mengamuk dan bertindak membaling barangan di dalam rumah berkenaan.

Sumber berkata, lelaki itu bertindak lebih agresif apabila dikatakan turut memukul bapanya berusia lingkungan 60-an.

“Kejadian menyebabkan warga emas itu cedera dan sakit pada bahagian muka.

“Sebaik anaknya beredar, mangsa kemudian menghubungi seorang anak lelakinya untuk meminta bantuan,” katanya.

Susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit di sini.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Beliau berkata, pihaknya masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 6:48 PM