Bomba berusaha memadamkan kebakaran empat rumah yang terbakar. FOTO Ihsan JBPM
Bomba berusaha memadamkan kebakaran empat rumah yang terbakar. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


JERITAN penduduk yang terlihat api marak di sebuah rumah di Jalan Selangan Batu, Sungai Apong, Kuching menyelamatkan nyawa 11 penghuni empat rumah yang terbakar malam tadi.

Sumber berkata, kejadian itu disedari beberapa penduduk yang melalui kawasan kejadian sebelum mengejutkan penghuni rumah.

Menurutnya, ketika kejadian 12.20 tengah malam itu, sebahagian penghuni rumah nyenyak tidur.

“Melihat api marak, penduduk segera mengejutkan penghuni dan tindakan itu berjaya menyelamatkan mereka daripada terperangkap dalam kebakaran,” katanya.

Beliau berkata, daripada 11 mangsa terbabit, dua tinggal di rumah pertama, enam di rumah kedua dan tiga lagi di rumah ketiga manakala penghuni sebuah lagi rumah yang turut terbakar, tiada di rumah ketika kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan 12.22 tengah malam.

Beliau berkata, 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dibantu 10 anggota dari BBP Padungan dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.

“Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kediaman berhampiran pada 1.06 pagi dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 12:22 PM