Anggota bomba berusaha menurunkan mayat R Alagesan yang maut dihempap dahan pokok beringin di Jalan Telok Jambu, Bintong, Kangar. FOTO Eizairi Shamsudin
Anggota bomba berusaha menurunkan mayat R Alagesan yang maut dihempap dahan pokok beringin di Jalan Telok Jambu, Bintong, Kangar. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Kangar: Lelaki maut dipercayai dihempap sebatang dahan pokok yang patah ketika melakukan kerja pemotongan pokok beringin di banglo di Jalan Telok Jambu, Bintong, di sini, pagi tadi.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira 11 pagi ketika R Alagesan, 32 dari Pangsapuri Sena, Kangar memotong dahan pokok beringin bersama beberapa pekerja am yang lain di banglo di kawasan itu.

"Ketika mangsa berada di ketinggian enam meter, tiba-tiba sebatang dahan pokok itu yang dipercayai reput menghempap mangsa menyebabkan dia pengsan dalam keadaan terduduk di suatu bahagian di pokok berkenaan," katanya.

Menurutnya, rakan mangsa yang melihat Alagesan tidak bergerak di atas pohon berkenaan bertindak menghubungi bomba untuk menurunkan mangsa.

"Anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kangar dikerah ke tempat kejadian dan mengambil masa lima minit untuk menurunkan mangsa dan selepas dibawa turun mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew mengesahkan kejadian dan kes disiasat sebagai kematian mengejut

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 2:28 PM