Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI berusia 29 tahun dilarikan dua individu dari apartment di Taman Sepakat Indah, Sungai Chua, Kajang, kira-kira jam 10 pagi, Rabu lalu sebelum ditemui dalam keadaan lemah dan cedera di badan di rumah ibunya di Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang juga majikan mangsa berusia 57 tahun.

"Lelaki itu dimaklumkan oleh rakan sekerja mangsa yang melihat pergaduhan berlaku di antara mangsa dan dua suspek berkenaan sebelum dia dibawa lari.

"Selepas kejadian, mangsa ada menghubungi majikannya bagi memaklumkan dia bersama anak perempuannya berusia tujuh tahun berada di rumah rakannya di Johor dan dalam keadaan selamat," katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya berjaya menemui mangsa dan anak perempuannya di kediaman ibunya di Kampung Baru, Kuala Lumpur, kira-kira jam 10 malam, semalam.

"Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan cedera di bahagian badan dipercayai akibat dipukul oleh suspek.

"Motif kejadian masih disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 3:41 PM