LUKISAN mural dua ekor Harimau Malaya yang dilukis pada dinding bangunan kedai lama berusia 96 tahun di Bandar Renggam.
LUKISAN mural dua ekor Harimau Malaya yang dilukis pada dinding bangunan kedai lama berusia 96 tahun di Bandar Renggam.
Adnan Ibrahim


SIMPANG RENGGAM: Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) muncul pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik dunia kategori mencantikkan bangunan (Beautification of Building) dengan menewaskan 100 PBT seluruh dunia di Pertandingan Green Apple di United Kingdom, November lalu.

Kemenangan itu hasil projek mural pada dinding bangunan kedai lama berusia 96 tahun serta usaha pemuliharaan kawasan Bandar Renggam untuk kelestarian dan pengekalan kawasan warisan serta alam sekitar.

Yang Dipertua MDSR, Mohammad Sukry Abd Rahim berkata, pihaknya bangga menerima anugerah Green World Ambassador 2020 pada majlis yang berlangsung di Houses of Parliament Palace of Westminster London pada 25 November lalu.

Katanya, anugerah itu dianjurkan The Green Organisation berpangkalan di United Kingdom bertujuan menggalakkan kempen dan mengiktiraf amalan menjaga alam sekitar yang diamalkan sesebuah pertubuhan, organisasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan kerajaan dari seluruh dunia.

“Lukisan mural yang benar-benar menarik perhatian mereka adalah dua Harimau Malaya hasil lukisan seorang pelukis mural tempatan, Muhammad Nabil Mohd Azahari yang memberikan gambaran Bandar Renggam ini pernah mempunyai populasi haiwan yang sinonim dengan gelaran Pak Belang itu.

“Kemenangan ini membuktikan perancangan pelan induk pembangunan Simpang Renggam yang dirangka bermula pertengahan 2018 memberikan hasil positif dan diiktiraf semua pihak,” katanya, semalam.

Menurut Mohammad Sukry, kejayaan itu akan membakar semangat mereka untuk melakukan pelbagai perancangan terbaru di bawah tanggungjawab MDSR terus mencatat pertumbuhan positif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 5:30 AM