ANGGOTA pasukan khas MDSR melakukan semburan nyah kuman. FOTO ADNAN IBRAHIM
ANGGOTA pasukan khas MDSR melakukan semburan nyah kuman. FOTO ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim


BIMBANG kerana menjadi lokasi tumpuan berikutan menjadi Bilik Gerakan Bencana Covid-19 sejak tiga hari lalu, pejabat dan Dewan Orang Ramai Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dinyah kuman.

Pasukan khas MDSR melaksanakan penyemburan nyah kuman awal pagi hari ini sebelum dibuka kepada petugas yang bertugas melaksanakan operasi bantuan kepada penduduk Kampung Datuk Ibrahim Majid serta kampung rangkaian yang terbabit dalam Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketat (PKPD).

Yang DiPertua MDSR, Mohamad Sukry Abd Rahim berkata, selain mengambil langkah penyemburan nyah kuman, semua petugas juga terlebih dahulu dipastikan melakukan pembersihan diri sebelum masuk ke dalam dewan atau pejabat.

Katanya, semua kakitangan serta petugas juga disyaratkan untuk mematuhi langkah-langkah keselamatan dengan memakai penutup hidung dan mulut serta sarung tangan terutama sekali apabila berurusan dengan penghantar bekalan makanan.

“Mereka yang tidak berkaitan juga tidak digalakkan untuk berada di sekitar dua lokasi ini bagi mengelakkan kesesakan kerana tiada urusan pejabat dibuka kepada orang ramai sepanjang PKPD ini dilaksanakan.

“Langkah ini diambil bagi mengelakkan ada petugas di bilik gerakkan ini terkesan dengan penyebaran wabak Covid-19 yang secara tidak langsung mungkin boleh memanjangkan lagi rantaian penyebaran wabak ini,”katanya.

Mohamad Sukry berkata demikian selepas mengetuai kerja penyemburan nyah kuman yang turut dilakukan di luar kawasan pagar dewan dan pejabat MDSR dekat sini hari ini.

“Kami juga ingin mengingatkan kepada semua yang datang berurusan di sini mengenakan langkah keselamatan sewajarnya.

“Ia secara tidak langsung akan membolehkan kerja menyelaras bantuan ini dapat berjalan tanpa ada gangguan lain khususnya berkaitan kes penyebaran wabak ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 4:07 PM