Rizanizam Abdul Hamid


KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkemungkinan dipanggil polis bagi membantu siasatan kes rusuhan ketika Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 di Melaka, Jumaat lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim berkata, sehingga kini, enam individu sudah direkodkan keterangannya, selain 15 saksi dipanggil untuk melengkapkan siasatan.

“Mereka ini antaranya adalah orang berkepentingan dalam parti yang dapat membantu siasatan kes, agar dapat memberi keadilan kepada semua pihak.

“Kemungkinan besar, kita akan panggil (Akmal Nasrullah) dan semua yang ada kepentingan.

“Kita tidak akan mengklasifikasikan siapa terbabit dan sebagainya. Kita akan bagi keadilan kepada semua pihak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, hari ini.

Insiden pada Jumaat lalu berlaku di pintu masuk Dewan kongres AMK yang turut menyaksikan pergaduhan fizikal antara dua ahli.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham pada sidang media selepas itu dilapor mendakwa, kekecohan berpunca daripada tindakan sabotaj terancang sekumpulan pemuda berbaju hitam.

Susulan insiden, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ahli yang bertanggungjawab mencetuskan kekecohan itu dipecat Lembaga Disiplin parti.

Polis juga menahan reman dua lelaki berusia 20 dan 30-an untuk siasatan lanjut selain turut mengenal pasti lapan lelaki dan meminta mereka segera tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi membantu siasatan.

Mengulas perkembangan itu, Mat Kasim berkata, empat lagi individu sudah ditahan menjadikan jumlah keseluruhan enam orang yang kesemuanya ahli AMK, dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

“Bagaimanapun, lapan individu yang diminta tampil sebelum ini masih gagal menghadirkan diri dan kita masih menggunakan budi bicara untuk meminta mereka membantu.

“Jadi pada pihak berkenaan, saya harap sangatlah kelapan-lapan individu ini tolong serah diri dalam kadar segera.

“Ia hanya bertujuan melengkapkan siasatan dengan segera untuk diserahkan kepada TPR (Timbalan Pendakwa Raya) bagi tindakan lanjut,” katanya.

Berita berkaitan

Polis cari 8 lelaki kes gaduh

Pecat siapa buat kecoh - Anwar

Kecoh lagi...

Boleh pecat jika sabotaj

Baju Melayu punya pasal [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 6:41 PM
MAT Kasim (dua dari kanan) menunjukkan gambar individu dikehendaki susulan rusuhan Kongres AMK 2019, hari ini. FOTO Khairunisah Lokman.
MAT Kasim (dua dari kanan) menunjukkan gambar individu dikehendaki susulan rusuhan Kongres AMK 2019, hari ini. FOTO Khairunisah Lokman.