PARA SPRM melalui pekarangan lobi SPRM semasa waktu rehat tengah hari tadi. FOTO Bernama
PARA SPRM melalui pekarangan lobi SPRM semasa waktu rehat tengah hari tadi. FOTO Bernama
Samadi Ahmad


Putrajaya: Polis sedang melengkapkan siasatan berhubung Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyerahkan kad memorandum bantahan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di pejabat SPRM, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kes itu disiasat mengikut Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021(P.U.(A) 293.

Beliau berkata, kumpulan AMK itu disertai antara 20 hingga 30 peserta dan siasatan sedang berjalan.

"Polis sudah mengambil keterangan pihak penganjur dan peserta yang terbabit bermula semalam dan akan diadakan secara berperingkat.

"Kita akan memanggil individu terbabit bagi melengkapkan kertas siasatan dan berharap mereka memberikan kerjasama bagi membantu siasatan," katanya.

Semalam, sekumpulan ahli AMK menghantar memorandum berupa play kad 'Undur Azam Baki' secara berkonvoi dengan kereta bermula dari Dataran Putrajaya ke pejabat SPRM.

Kumpulan itu dihadiri Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 4:23 PM