MASLIANA dan Fauzi ketika Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang di Geno Hotel. FOTO/SAIRIEN NAFIS
MASLIANA dan Fauzi ketika Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang di Geno Hotel. FOTO/SAIRIEN NAFIS
Siraj Mohd Zaini


TIDAK mahu berputus asa dengan hidupnya, seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang sanggup melakukan apa saja termasuk menjala ikan bagi memberikan enam orang anaknya makanan.

Namun Masliana Mohd Sobri, 35, tidak menjangka tindakan nekadnya tiga tahun lalu itu menjadikannya kini usahawan ikan pekasam.

“Ketika itu suami menghilangkan diri dan saya tidak sanggup melihat anak yang berusia setahun hingga 12 tahun kelaparan.

“Saya sanggup meminjam motosikal jiran untuk pergi menjala di sungai berhampiran Kem Tentera Paya Jaras, Sungai Buloh.

“Ketika itu saya baru sebulan melahirkan anak, hanya ada beras namun tiada lauk untuk diberikan kepada anak-anak.

“Walaupun itu kali pertama menggunakan jala, saya dan anak yang sulung mampu memperoleh seguni ikan talapia pada hari itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Usahawan Berjaya 2018 pada Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Shah Alam, hari ini.

Pengusaha Aneka Pekasam Ikan Cikna itu berkata, disebabkan di kediamannya tidak mempunyai peti sejuk, dia terpaksa memikirkan kaedah lain bagi memastikan hasil tangkapan itu tidak terbuang begitu saja.

“Idea untuk membuat ikan pekasam terlintas kerana bahan asas seperti beras dan asam keping sudah ada di rumah, itu adalah titik tolak kepada perubahan kehidupan kami sekeluarga.

“Tidak lama selepas itu, saya memohon bantuan dengan LZS, dan mereka memberi modal untuk perniagaan ini, dan selepas tiga tahun, saya kini boleh menarik nafas lega,” katanya.

Masliana berkata, dirinya kini turut membantu asnaf lain untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dengan membeli ikan selain menggaji mereka untuk bekerja dengannya.

Sementara itu, pengusaha perkhidmatan cuci kereta, Mohd Fauzi Mohd Aziz, 36, bangkit semula dengan kejayaan menerusi bantuan LZS selepas berhenti kerja dengan sebuah syarikat servis kenderaan pada empat tahun lalu.

“Saya malu hendak memohon bantuan LZS, kerana saya fikir tidak layak namun selepas mereka hadir ke rumah dan ingin menghulurkan bantuan untuk memulakan perniagaan.

“Dengan pengalaman dan kemahiran yang ada, saya bermula secara kecil-kecilan dengan melakukan perkhidmatan mencuci kusyen kereta dari rumah ke rumah sehinggalah kini mampu memiliki sebuah premis cuci kenderaan di Sri Kembangan, Serdang,” katanya.

Pada majlis berkenaan, 67 asnaf zakat diberikan penghargaan oleh LZS yang disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Prof Emeritus Datuk Dr Muhamad Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 5:48 PM