SYED Anwar (baris depan, tiga dari kanan) bersama penerima bantuan pada majlis penyerahan bantuan bina rumah kepada asnaf fakir dan miskin LZS di Tanjong Karang, semalam.
SYED Anwar (baris depan, tiga dari kanan) bersama penerima bantuan pada majlis penyerahan bantuan bina rumah kepada asnaf fakir dan miskin LZS di Tanjong Karang, semalam.
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Berkat kesabaran menetap dan menjaga kedua-dua ibu bapa yang uzur selama tiga tahun membawa kegembiraan kepada seorang peniaga makanan, Juliyah Mohd Ishak, 49, apabila menerima bantuan bina rumah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), semalam.

Juliyah yang juga ibu 11 anak berusia 11 hingga 31 tahun berkata, dia tidak menyangka mendapat bantuan itu dan bersyukur permohonannya diterima LZS.

"Sebelum ini saya menyewa di Parit 2, Sungai Burong. Namun disebabkan ibu bapa semakin uzur terutama bapa yang lumpuh dan buta kedua-dua mata, saya mengambil keputusan untuk menetap bersama mereka.

"Apa yang saya terkilan, bapa tidak sempat duduk di rumah baharu ini kerana meninggal dunia ketika malam Aidiladha lalu," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Sireh di sini, semalam.

SYED Anwar (kiri) bertanya sesuatu kepada Juliyah (kanan) ketika melawat rumah baharunya.
SYED Anwar (kiri) bertanya sesuatu kepada Juliyah (kanan) ketika melawat rumah baharunya.

Juliyah antara 10 keluarga asnaf fakir dan miskin bagi daerah Kuala Selangor yang berjaya menerima bantuan bina rumah oleh LZS dengan jumlah keseluruhan RM882,815.

Majlis disempurnakan Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop.

Juliyah berkata, dia bersana suami, Wahid Alib, 59, dan anak bongsu mereka berusia 11 tahun bercadang membawa ibunya, Suliah Kasan, 86, untuk tinggal bersama mereka.

Sementara itu, Saipolyazan berkata, pihaknya membina 2,281 rumah asnaf fakir dan miskin serta mualaf dengan nilai keseluruhan berjumlah RM99.8 juta sejak 2010.

Beliau berkata, kos pembinaan untuk sebuah rumah bernilai antara RM80,000 hingga RM93,000 mengikut keadaan tanah.

"Nilai ini termasuk kos tambahan untuk kerja pembersihan dan pemulihan tapak sebelum pembinaan rumah dapat dimulakan," katanya.

Menurutnya, proses baik pulih pula membabitkan sejumlah 3,457 rumah asnaf dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan RM54 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 7:15 AM